4 orang disiasat polis kerana ‘sakiti hati’ Sanusi

Sekurang-kurangnya 4 orang sudah ditahan polis setakat berita ini ditulis bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan oleh pegawai Muhammad Sanusi Md Nor, berkenaan hantaran di facebook yang dikatakan menghina menteri besar Kedah itu.

Suspek pertama, seorang warga emas berusia 61 tahun ditahan pada pukul 3.57 pagi di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan oleh polis yang dikatakan turun dari Kedah.

Suspek kedua pula melibatkan ahli perniagaan berumur 45 tahun ditahan di Mergong, Kedah pada pukul 5.30 petang.

Manakala suspek ketiga adalah juruteknik berumur 52 tahun, ditahan di Hutan Kampung, Kedah pada pukul 6.15 petang.

Terakhir, suspek keempat, seorang penganalisis IT berusia 25 tahun ditahan pada pukul 12.15 pagi di Taiping, Perak oleh pihak polis. Dia dibawa ke Sungai Petani dan dikenakan tahanan reman selama 3 hari. Lebih memilukan, isterinya yang baru mengandung 2 bulan terpaksa merayu pihak berkuasa untuk membebaskan suaminya.

Semuanya berpunca dari keceluparan Sanusi yang bergurau mengenai tempat penyimpanan jenazah atau kontena tambahan untuk menempatkan jenazah mangsa Covid-19.

“Kontena mencukupi, sapa nak masuk, bagi nama,” ujar Menteri Besar Kedah itu sambil disusuli gelak tawa, yang mengundang kecaman dan membangkitkan kemarahan netizen.

Walaupun beliau kemudian memohon maaf berikutan keterlanjuran kata-katanya itu, namun ia tidak berjaya memadamkan api kemarahan rakyat yang berterusan mengecam beliau di media sosial.

Kebanyakan suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana secara sengaja menghina dengan tujuan mengganggu gugat keamanan, penyalahgunaan medium komunikasi dan perbuatan menghina.

COMMENTS