TERKINI | Saifuddin kecewa rakan khianati Bersatu pilih PBM
Menteri Luar, Saifuddin Abdullah mengesahkan terus bersama Bersatu walaupun ada antara kenalannya sudah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang didaftarkan secara rasmi oleh ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada 27 Oktober lalu.
Sambil menyatakan rasa terkilan dengan tindakan segelintir ‘rakan’ dan ‘kenalan’ yang menyertai parti baru itu, Saifuddin bagaimanapun tidak pasti jika ramai lagi yang bakal menyertai parti berkenaan.
“Saya tak pastilah ramai atau tak ramai yang akan menyertai PBM, namun saya dukacita kerana mereka ini kawan-kawan saya juga.
“Ramai itu adalah kenalan dan memang kita mengharapkan supaya semuanya menyertai Bersatu dan apa lagi Presiden (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sangat ‘accommodate’ teman-teman yang tinggalkan PKR… pada saya, agak terkilan kerana sepatutnya kita membalas jasa Tan Sri Muhyiddin dengan memperkuatkan lagi Bersatu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat koperasi Reflisia Timur Berhad di Kuantan, hari ini.
Saifuddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, menjelaskan menjadi hak masing-masing untuk menubuhkan parti kerana ada antaranya tidak menyertai Bersatu selepas keluar PKR.
Larry Sng sebelum ini memenangi kerusi parlimen Julau atas tiket PKR sebelum membuat keputusan keluar dari parti itu pada 28 Februari tahun lalu.
Pada sidang media 5 Januari lalu, Larry yang juga Presiden PBM memaklumkan parti itu dilahirkan selepas penjenamaan semula Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditubuhkan bapanya, Sng Chee Hua pada tahun 2012.
Selain Larry, PBM turut mempunyai seorang lagi wakil di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon turut mengumumkan menyertai parti berkenaan.
Berdasarkan senarai kepemimpinan baru PBM yang diumumkan 8 Januari lalu, jawatan Timbalan Presiden 1 disandang Adun Lembah Jaya yang juga bekas ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Naib Presiden 2 Wong Judat.
Dua Adun Perak yang menyertai Bersatu tahun lalu turut tersenarai dalam kepemimpinan baru itu iaitu Adun Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai naib presiden kanan 2 dan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebagai bendahari agung.
Untuk rekod, Paul Yong sedang menghadapi perbicaraan kes rogol amah di mahkamah.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan berlaku pilihan raya negeri Johor dalam masa terdekat, Saifuddin memaklumkan dia tidak ada ‘locus standi’ untuk mengulas perkara itu.