Takkan bila menang, baru nak ‘makan bersama’, tegur Tok Mat

Takkan bila menang, baru nak ‘makan bersama’, tegur Tok Mat

Takkan bila menang nak ‘makan bersama’, tegur Tok Mat kepada Adun PN. Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka kelak.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, selepas mencapai kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN PN berkenaan sebagai ahli Exco.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan. Jika kita tidak cukup kerusi betul la, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai Exco.

“Bagi saya tidak ada keperluan, jika dibawa kepada kepemimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, okay,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di sini.

Sebelum ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan Exco belum diputuskan dan perkara berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepemimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN menegaskan, bukanlah menjadi satu kejanggalan sekiranya persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.

“Banyak negara lain, di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan tersebut, kita setuju. Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasi mesti ada, itu sahaja,” katanya.-GD

COMMENTS