Scammer: Bapa anak tiga berdepan hukuman denda RM150 juta

Scammer: Bapa anak tiga berdepan hukuman denda RM150 juta

Seorang bapa anak tiga berdepan hukuman denda sehingga RM150 juta selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang deposit pelaburan tidak wujud, lima tahun lalu.

Tertuduh, Iskandar Isahak, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan satu hingga tiga, dia didakwa menerima wang deposit pelaburan daripada tiga individu berjumlah keseluruhan RM125,000.

Kesemua wang tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB atas nama syarikat I Usahawan Global Berhad milik tertuduh tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah antara 10 Mei 2016 sehingga 27 Jun 2016.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad yang tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah sebanyak RM70,000 diberikan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Zulhelmi Wagiman yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung harap dengan pendapatan anak sulung.

Maziah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan tarikh 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding berlainan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Lee Kim Keat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki dengan tawaran program pembelian motosikal berkuasa tinggi tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Jalan Durian Daun dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Oktober 2016.

Bagi kesalahan itu, Iskandar didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Kim Keat kemudian memberi jaminan sebanyak RM1,500 dan menetapkan 14 September ini sebagai sebutan semula kes.-UO

COMMENTS