Remaja ditemui kebingungan selepas hilang dari semak

Gua Musang: Remaja lelaki yang hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, malam kelmarin ditemui dalam keadaan kepenatan serta kebingungan di atas sebuah jambatan, petang ini.

Mangsa berusia 13 tahun itu ditemui penduduk pada 5.30 petang pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, remaja itu berjalan dalam kepenatan serta kelihatan kebingungan ketika ditemui penduduk yang kebetulan melalui kawasan kampung itu.

“Penduduk yang menemuinya segera membawa remaja itu pulang ke rumah keluarganya. Melihat keadaannya yang membimbangkan, kami akan membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, keluarga remaja itu bersyukur kerana anak mereka ditemui dalam keadaan selamat selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, remaja lelaki itu dipercayai hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak pada 10 malam kelmarin.

Mangsa dikatakan sedang bermain bersama rakannya di gelanggang sepak takraw yang terletak berhampiran rumahnya sebelum masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, mangsa tidak keluar semula menyebabkan rakannya menyangka remaja itu sudah pulang ke rumah. —HM

COMMENTS