Rakyat kecewa dengan BN, PN, PH – Warisan sedia jadi pengganti

Seorang pemimpin Warisan menggesa rakyat memberi peluang kepada parti itu dan sekutunya MUDA pada pilihan raya umum akan datang dengan berkata, ia boleh menawarkan kepimpinan yang sangat diperlukan di negara ini.

“Rakyat Malaysia amat memerlukan harapan baharu, hala tuju baharu, pilihan baharu terutama bagi mereka yang tidak mahu mengundi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH),” kata Naib Presiden Warisan Junz Wong.

Wong yang juga bekas menteri di Sabah, berkata, rakyat Malaysia secara amnya masih mahukan perubahan tetapi tidak lagi melihat kepada PH seperti yang ditunjukkan oleh keputusan pilihan raya negeri di Melaka dan Sarawak yang menyaksikan PH mengalami kekalahan besar.

“Di Melaka, peratusan keluar mengundi masyarakat Cina dan India berkurangan hampir 30%, malah MCA dan MIC berjaya memenangi kerusi. Di Sarawak, kita boleh lihat masyarakat Cina pun menolak DAP. Ini menunjukkan rakyat kecewa dengan PH,” katanya kepada FMT dalam temu bual baru-baru ini.

Di Melaka, PH hanya berjaya memenangi lima kerusi berbanding 15 yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018. Sebulan kemudian, gabungan itu hampir disapu bersih di Sarawak dan hanya mengekalkan dua daripada 10 kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya negeri sebelum ini.

Wong berkata, beliau percaya negara tidak mempunyai pemimpin yang berfikiran reformasi, sederhana dan progresif serta inklusif.

“Kami percaya rakyat Malaysia mahukan pemimpin baharu dan kami rasa negara perlu beralih daripada Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad,” katanya merujuk kepada pengerusi PH dan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat sebelum ini.

Bagaimanapun Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan PH bagi mengelak perpecahan undi pembangkang.

“Tetapi kita mesti bertemu pada titik persamaan berkenaan isu kepimpinan. Jika PH bertegas dengan pilihan kepimpinan mereka dan tidak boleh berkompromi, maka saya rasa ia agak sukar.”

Bulan lalu, Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dan Wong menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif untuk politik Malaysia.

“Malaysia Timur terkenal dengan keharmonian berbilang kaum dan budaya. Apabila anda melihat parti nasional yang ditubuhkan di sini, kebanyakan, jika tidak semua, adalah berasaskan kaum. Malah parti berbilang kaum juga didominasi oleh mereka yang terdiri daripada satu kumpulan kaum walaupun mereka mempunyai beberapa ahli daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Wong berkata, parti-parti di Malaysia Timur boleh menjadi suara untuk politik Malaysia secara umum yang melibatkan hubungan kaum.

Setakat ini, 85 cawangan Warisan telah ditubuhkan di Semenanjung dan parti itu akan memberi tumpuan kepada kerusi campuran pada pilihan raya umum akan datang.

Parti itu tidak melihat untuk meletakkan calon dari Sabah di Semenanjung dan juga tidak akan meletakkan calon “payung terjun” dari negeri lain.

“Kami percaya setiap negeri mempunyai bakat yang mencukupi untuk memimpin. Saya tidak percaya mana-mana negeri mempunyai kekurangan calon pemimpin.”

COMMENTS