Perkukuhkan PH-Plus, berganding bahu perangi MN, PN

Sudah sampai masanya kini bagi PH reset kepada PH-Plus sebagai respon kepada pembentukan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, MN dan PN kini sedang berusaha menambahkan kekuatan politik mereka melalui persefahaman dan kerjasama politik.

Menurutnya, saranan AMANAH agar gabungan besar yang baharu bukan bererti menambahkan keanggotaan PH, sebaliknya adalah bagi menjalin persefahaman dan kerjasama politik yang disebut sebagai PH Plus.

Katanya, sebelum ini PKR turut menzahirkan PH tidak perlu gabungan besar yang baharu, sebaliknya cukup sekadar persefahaman politik.

“Kita mahu PH luaskan persefahaman dan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Konsep PH Plus tidak bermakna PH perlu menukar kepimpinan PH kini, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau tetap relevan mengetuai kepimpinan PH menghadapi PRU ke-15,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zaidi menasihatkan penyokong dan ahli-ahli PH supaya tidak terlalu prejudis mahupun prasangka buruk dengan saranan pembentukan PH-Plus.

Tegasnya, kesepakatan blok pembangkang itu sama sekali bukan ertujuan untuk mengangkat kembali Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Shafei Afdal sebagai calon Perdana Menteri (PM).

“PH perlu seberapa segera ke meja bulat dengan mencerahkan segala kekaburan dan menggilapkan gerak kerja bagi mengelakkan persepsi yang melampau dalam kalangan ahli dan penyokong PH,” ujarnya.

Sejajar dengan itu, Dr Zaidi menegaskan PH tidak harus tersilap langkah sehingga memberi kelebihan kepada kepada MN dan PN.

“Sekarang adalah detik penting bagi PH menambahkan kekuatan politik bagi menghadapi PRU-15 dengan menghapuskan segala tanggapan negatif yang boleh meleraikan kekuatan sedia ada,” tambahnya lagi.

-Malaysiadateline

COMMENTS