Pengantin satu hari ,suami reda pemergian isteri

Kota Bharu: “Walaupun sempat menjadi suaminya hanya sehari saja, namun kebaikannya yang sentiasa mengambil berat akan diri ini akan sentiasa diingati.

“Saya reda dengan pemergiannya dan berasa bertuah menjadi suaminya selepas isteri meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak pada 24 Oktober lalu,” kata Mohamad Amirul Akmal Aziz, 25.

Mohamad Amirul Akmal adalah suami kepada Siti Saraf Ismail, 25, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) di Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Mohamad Amirul Akmal berkata, isterinya tidak mempunyai sebarang penyakit, namun selepas berkahwin arwah mengadu sakit kepala sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Ketika dirawat isteri menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah hari. Saya menerima takdir Ilahi dengan hati yang lapang.

“Isteri meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di dalam otak. Sebelum ini isteri sihat dan seorang yang ceria,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Amirul Akmal dan ibu mentuanya, Mek Limoh Ismail, 64, menerima sumbangan menerusi Badan Khairat Kematian JPJ Malaysia (BAQA) berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed di Kampung Karang, Banggu, Binjai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung sumbangan itu, Mohamad Amirul Akmal yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan di Presint 9, Putrajaya berkata, dia menyerahkan wang itu kepada ibu mentuanya untuk membayar upah badal haji arwah isterinya dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Saya juga akan memberi sumbangan kepada pihak madrasah dan masjid sebagai hadiah buat arwah isteri,” katanya.

COMMENTS