Pas terima baik keputusan pengundi Melaka

PAS menerima kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan menganggap ia satu proses demokrasi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rakyat Melaka sudah membuat keputusan dan sebagaimana maklum Barisan Nasional (BN) menang pada PRN berkenaan dan sudah membentuk kerajaan.

“Yang penting sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN adalah untuk mencari kestabilan dalam pemerintahan negara serta negeri.

“Bagi saya, kita terima keputusan rakyat dan ia satu proses demokrasi. Kita berharap kerajaan yang diberi mandat bertindak dengan adil dalam melayani rakyat Melaka.

“Pilihan raya adalah proses memilih dan apabila mereka dipilih oleh rakyat, tanggungjawab kerajaan menjaga seluruh rakyat negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang dua kerusi.-HM

COMMENTS