PANAS | Tiada keperluan mendesak untuk beli vaksin bagi rakyat Kedah

Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 berikutan belum ada keperluan, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata ini kerana jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di Kedah masih rendah.

Selain itu, katanya penularan Covid-19 juga masih terkawal tidak seperti di negeri-negeri lain.

“Sekiranya pendaftaran imunisasi meningkat secara mendadak dan kes turut meningkat, maka kita akan mengadakan mesyuarat untuk melihat keperluan untuk membeli bekalan vaksin sendiri.

“Setakat ini kita tengok pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dengan bekalan vaksin yang dihantar mencukupi, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor belum menyatakan hasrat untuk membeli bekalan vaksin sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan negeri juga perlu melihat kemampuan kewangan negeri sekiranya perlu membeli bekalan vaksin sendiri.

Semalam, media melaporkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, memberi maklum balas positif kepada kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan Covid-19.

Kerajaan Selangor dan Sarawak yang membuat permohonan itu, boleh berbuat demikian dengan syarat vaksin yang ingin dibeli mesti berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA). – HM

COMMENTS