‘Mudarat lebih besar jika kerajaan Muhyiddin diberi peluang lagi’ – GBMRM

Satu gabungan hampir 50 NGO menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menterinya berundur secara terhormat sebelum 16 Julai kerana gagal mengawal wabak Covid-19 melalui memorandum yang diserahkan ke Istana Negara pagi tadi.

Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) yang antaranya disertai kumpulan pro-Anwar Ibrahim, Otai Reformis 98, menyeru rakyat agar mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai tanda solidariti dengan mangsa Covid-19 jika Muhyiddin tidak berundur selepas tempoh 48 jam itu.

“(Letak jawatan) bukan lagi diminta parti politik tetapi NGO dan rakyat biasa. Kita sudah bagi masa dan peluang cukup panjang kepada kerajaan Muhyiddin, sudah sampai ke tahap jika diberi peluang lagi, akan sebabkan mudarat lebih besar,” kata penyelaras GBMRM, Mustafa Mansor kepada pemberita selepas memorandum itu diserahkan.

Memorandum kali ini merupakan yang keenam diserahkan oleh gabungan itu sejak pentadbiran Muhyiddin mengambil alih tampuk kerajaan.

GBMRM berkata, Muhyiddin perlu menamatkan darurat yang menurutnya gagal membendung penularan Covid-19 dan membuka segera Parlimen untuk memberikan mandat kepada sesiapa sahaja yang mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Mustafa mempersoalkan kedudukan Muhyddin sekarang selepas Umno menarik balik sokongan terhadap presiden Bersatu itu pada Khamis.

“Saya menyeru seluruh rakyat…jika tiada perubahan sehingga Jumaat, Perdana Menteri tidak mahu berundur secara terhormat atau tiada sebarang perubahan, kita bersama-sama di rumah masing-masing mengangkat bendera putih tanda solidariti,” katanya.

COMMENTS