MAQIS akan diperluaskan tanggungjawab serta kuasa

Kerajaan sedang menyemak pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) bagi memperluaskan kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Langkah itu antara lain bertujuan menangani isu penyeludupan produk pertanian, termasuk bekalan daging import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata buat masa ini, bidang kuasa MAQIS hanya tertakluk di pintu masuk sama ada di laut, darat atau udara bagi pemeriksaan terhadap produk pertanian.

Menerusi pindaan akta itu, pihaknya menjangkakan aspek penguatkuasaan akan menjadi lebih berkesan dan mampu menangani isu penyeludupan produk pertanian dengan lebih baik.

“Kita dalam peringkat pemeriksaan membabitkan pindaan akta itu untuk memperluaskan tanggungjawab serta kuasa MAQIS dan berharap ia dapat disegerakan (selepas Parlimen bersidang).

“Ia membabitkan usaha ke arah meluaskan kuasa MAQIS berbanding sekarang yang hanya terhad di pintu masuk.

“Sepatutnya ia lebih luas sebab ini memang bidang MAQIS,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan isu penyeludupan bekalan daging import yang diragui status halal dan kualitinya dengan ‘membeli’ pegawai agensi kerajaan untuk melepasi pintu masuk.

Susulan itu, beberapa serbuan dilaksanakan agensi penguatkuasaan termasuk terbaharu oleh MAQIS Pulau Pinang yang merampas daging kambing dari New Zealand tanpa logo halal diiktiraf seberat 22,861 kilogram (kg) bernilai lebih RM480,000 di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Mengulas mengenainya, Ahmad tidak menolak kemungkinan syarikat pengimport ‘mencuba nasib’ membawa masuk bekalan tidak diiktiraf termasuk logo halal susulan permintaan tinggi di negara ini.

Beliau berkata, Tahap Sara Diri (SSL) daging negara ketika ini hanya 23 peratus, sekali gus terpaksa bergantung kepada import bagi menampung permintaan.

“Permintaan ketika ini tinggi sebab ramai orang makan di rumah.

“Atas sebab ini, kita membuka peluang kepada mana-mana syarikat untuk memohon permit import (AP) bagi tujuan mengimport bekalan.

Berita berkaitan |Isu daging import: Kalau yakin makan la daging tu- Menteri Agama

“Kita tidak mempunyai had memberikan AP dalam kalangan syarikat, namun perlu memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan tetap dilaksanakan secara ketat khususnya di pintu masuk bagi memastikan pemegang AP mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sehingga kini, katanya, ada 318 syarikat pengimport yang berdaftar secara pentadbiran dengan JPV sehingga Disember lalu dengan 125 daripadanya ialah syarikat Bumiputera.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meninjau lokasi loji penyembelihan di luar negara sebelum disahkan bagi tempoh satu hingga tiga tahun.

Katanya, ia adalah usaha kerajaan dalam memastikan bekalan produk pertanian yang dibawa masuk ke negara ini mengikut piawaian ditetapkan.

“Dari masa ke semasa, wakil badan Islam di negara berkenaan dilantik untuk melakukan pemantauan secara berkala.

“Ia bagi memastikan protokol import yang dipersetujui dipatuhi bersama, ini sudah diamalkan dan ditambah baik sejak 2016,” katanya.

Sumber

COMMENTS