Majoriti AMK Negeri Sembilan hilang kepercayaan kepada Akmal Nasir

Majoriti AMK Negeri Sembilan hilang kepercayaan kepada Akmal Nasir

Pergolakan dalam kepimpinan Pemuda PKR semakin ‘panas’ apabila majoriti cawangan di Negeri Sembilan menentang ketua sayap parti itu, Akmal Nasir.

Tiga daripada lima cabang parti itu di Rembau, Rasah, dan Port Dickson membidas keputusan Akmal memecat ketua pemuda Selangor dan Perlis serta beberapa pimpinan MPP AMK tanpa melalui proses sewajarnya.

Tindakan Akmal, kata mereka dilihat sengaja “mensabotaj usaha” Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menumpukan serangan terhadap kerajaan PN.

“Akar umbi AMK di Negeri Sembilan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir,” kata ketua ketiga cabang tersebut dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh ketua pemuda PKR Rembau, Mohd Effendi Mat Aris, ketua pemuda PKR Rasah, Ahmad Izzuddin Ismail dan ketua pemuda Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik.

Port Dickson adalah kawasan Parlimen Anwar.

Kenyataan ketiga-tiga ketua pemuda PKR cabang di Negeri Sembilan itu disertai ketua AMK cawangan Port Dickson.

Ia menguatkan lagi dakwaan berlaku pertelingkahan dalam parti itu untuk merebut kuasa antara kem bekas naib presiden parti itu, Rafizi Ramli dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Justeru, ketiga-tiga ketua AMK Negeri Sembilan ini berkata adalah lebih demokratik pada ketika ini untuk mengadakan Kongress Angkatan Muda Keadilan Luar Biasa (EGM) bagi melantik ketua pemuda pusat yang mempunyai keabsahan agar mampu menjamin kelangsungan perjuangan reformasi.

Sumber Berita

COMMENTS