‘Lepas Langkah Sheraton lagi, saya boleh jadi KM kerajaan PH di Melaka’ dakwa Idris Haron

‘Lepas Langkah Sheraton lagi, saya boleh jadi KM kerajaan PH di Melaka’ dakwa Idris Haron

MELAKA: Idris Haron yang dikait rapat dengan kemelut politik terkini Melaka menafikan dakwaan bahawa beliau mahu menjadi Ketua Menteri berkata, jawatan itu ditawarkan kepadanya tahun lalu selepas berlakunya Langkah Sheraton.

Dalam wawancara bersama FMT di Melaka, bekas Ketua Menteri itu menolak dakwaan “dangkal” bahawa beliau berpaling tadah daripada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk mendapatkan semula jawatan yang pernah dipegangnya dari 2013 hingga 2018 itu.

“Saya tidak nampak satu alasan yang kukuh untuk menyebabkan gerakan yang begitu besar berlaku di Melaka. Kalau alasan nak jadi Ketua Menteri semula, ia sudah berlaku lama dulu,” katanya.

“Ini kerana apabila kerajaan (persekutuan) bertukar disebabkan oleh Langkah Sheraton (pada Mac 2020) … sudah ada tawaran ketika itu untuk saya bersama mereka (PH) dan mereka menganjurkan saya mengetuai Melaka.

“Saya tidak menerimanya kerana saya menyarankan kepada kerajaan PH ketika itu, berilah peluang kepada BN memimpin (negeri) dan kita lihat bagaimana (keadaannya selepas itu).”

Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, sebab utama beliau dan tiga lagi ADUN menarik sokongan kepada kerajaan negeri adalah kerana kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali itu disifatkannya sekadar “boneka”.

Katanya, Sulaiman gagal sebagai Ketua Menteri kerana terpaksa menjawab kepada orang lain yang bukannya sebahagian daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, sebab itu beliau mendakwa wujud “dua singa di satu gunung” dalam pentadbiran negeri.

Disoal siapa “singa” kedua itu, Idris menjawab: “Sudah terang lagi bersuluh.”

“Speaker (Dewan Undangan Negeri) yang berlagak dan mengumumkan pembubaran Dewan, manakala Ketua Menteri duduk di tepi. Kemudian beberapa pengumuman lagi dibuat berkaitan prosedur- prosedur kerajaan.

“Jadi di sana sebenarnya kita dah nampak siapa dua singa itu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Ketua Menteri atau Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi dilakukan oleh seorang Speaker, yang kita pertikaikan juga kedudukannya,” katanya merujuk kepada Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

“Sebagai Pengerusi (negeri) parti politik dan duduk jawatan Speaker, yang sepatutnya berkecuali,” katanya sambil menambah, konflik kepentingan itu hampir menjerumus kepada krisis perlembagaan.

Disoal parti manakah yang bakal disertainya selepas ini, Idris berkata, beliau masih bertemu presiden dan pemimpin pelbagai parti, dan mengucapkan terima kasih kerana mereka menunjukkan minat menerimanya sebagai ahli.

Walaupun masih terlalu awal untuk mengatakan parti mana akan disertainya beliau berkata, ia pasti di bawah “khemah besar PH”.

“PH akan beri tawaran yang lebih baik kepada rakyat Melaka sempena pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang ini,” katanya.–FMT

COMMENTS