Kit Siang mohon maaf dan akui salah faham laporan Hadi

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menarik semula kenyataan merujuk “kerajaan Allah” yang menimbulkan kecaman di media sosial, mengakui beliau mengeluarkan kenyataan tersebut berdasarkan laporan sebuah portal berita berhubung kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau membaca portal Free Malaysia Today semalam bertajuk “Covid is a test from God, only Allah’s govt can overcome it, says Hadi” seterusnya membuat kenyataan tersebut sebagai respons.

“Selepas membaca laporan tersebut, saya telah beranggapan bahawa “Allah’s government” yang disebut oleh Abdul Hadi Awang merujuk kepada Kerajaan Islam, termasuklah Kerajaan Perikatan Nasional yang sering mendakwa mereka adalah “Kerajaan Melayu-Islam”.

“Saya langsung tidak berniat untuk mempersoalkan mana-mana agama atau kepercayaan, mahupun agama Islam, dan niat saya hanyalah untuk menulis respons kepada apa yang dilaporkan sebagai dikatakan oleh Hadi,” katanya dalam sebuah kenyataan.

“Saya telah silap dalam pemahaman saya mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi, dan beliau bukan merujuk kepada ‘Kerajaan Islam’.

Atas kesedaran itu, Kit Siang berkata beliau memohon maaf kerana mengkritik tanpa memahami maksud sebenar Hadi.

Dalam kenyataannya, Hadi berkata “hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa,”

“Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut.”

Free Malaysia Today menyunting tajuk laporannya itu dua kali sejak pertama kali diterbitkan. Tajuk awalnya: “Covid is test from God, only an Islamic govt can overcome it, says Hadi”.

Bagaimanapun, ia kemudiannya ditukar kepada tajuk berita yang dirujuk Lim.

Beliau kemudian dimaklumkan telah silap dalam pemahaman mengenai apa yang dikatakan oleh Hadi Awang bahawa presiden PAS itu bukan merujuk kepada “Kerajaan Islam”.

“Atas kesedaran ini, saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut yang berdasarkan pemahaman yang salah mengenai kenyataan Hadi.”

COMMENTS