Kes 1MDB: Najib Razak gagal mendapatkan dokumen

Datuk Seri Najib Razak, gagal mendapatkan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Goldman Sachs.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sequerah dalam penghakimannya, berkata maklumat yang ingin diperolehi oleh pembelaan bukanlah sebahagian daripada kes pendakwaan.

Katanya, sehubungan itu pendakwaan tidak perlu untuk mengemuka sebarang dokumen yang bukan menjadi sebahagian daripada kes mereka.

“Apa yang diminta oleh pembelaan seperti mengarahkan pendakwaan untuk mengendalikan siasatan berdasarkan apa yang dicadangkan oleh pembelaan.

“Pembelaan juga tidak boleh menentukan bagaimana pendakwaan mengendalikan perbicaraan,” katanya.

Pada prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam, manakala peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib.

Pada 24 Mac, pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul, antara lain meminta pihak pendakwaan mengemuka beberapa penyata bank dan dokumen lain kepada pihak pembelaan, yang dipercayai berkaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, dan anggota keluarga Zeti.

Pada 5 April lalu, Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit di antara kerajaan dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5 bilion (RM10.4 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs membabitkan komunikasi Leissner.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram membabitkan jumlah sama.-BH

COMMENTS