Isu Vellfire: Jumpa di mahkamah – Mahfuz

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan akan memfailkan saman fitnah ke atas empat pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian Toyota Vellfire adalah bagi kegunaannya.

Dia menamakan antara pemimpin berkenaan sebagai ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar; Adun Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.

Dato’ Mahfuz Omar dalam reaksi segera dalam facebook beliau, berhubung perkembangan itu berkata, beliau bersedia berdepan dengan Sanusi di mahkamah. “Ok, kita jumpa di mahkamah”, tulis beliau ringkas.

Untuk rekod, ahli parlimen Pokok Sena itu telah mengemukakan writ saman kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Sanusi yang didakwa memfitnahnya di laman facebook pada Julai tahun lalu berkaitan isu premis perjudian. Writ saman yang dikemukakan oleh peguam dari Tetuan Akram Hizri Azad dan Azmir yang mewakili Naib Presiden Amanah itu telah difailkan pada 9 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Dato Dr Ismail Salleh menyifatkan taraf Sanusi itu seperti ketua cawangan apabila ingin menyaman tanpa “locus standi” sambil berkongsi pautan berita mengenai hasrat MB Kedah itu di dalam halaman facebook beliau.

Isu pembelian Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) itu sebelum ini tular apabila beberapa dokumen berkaitan pembelian kereta mewah itu didedahkan di media sosial sekaligus membangkitkan kemarahan rakyat.

Netizen juga mempersoalkan kewajaran pembelian itu oleh SADA yang dikatakan “suatu pembaziran untuk bermewah-mewah oleh pemimpin” sedangkan pembeliannya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada syarikat milik kerajaan negeri Kedah itu.

 

COMMENTS