Gagal memakai pelitup muka, 7 kompaun dikeluarkan

Kota Bharu: Lapan kompaun dengan nilai RM10,750 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam operasi bersepadu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 Fasa 3, semalam.

Operasi berkenaan dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Medan Selera Bazar Buluh Kubu itu membabitkan pemantauan terhadap 85 premis, selain 100 individu diberi pendidikan kesihatan.

Menerusi kenyataan di Facebook JKNK, daripada jumlah kompaun itu, tujuh dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDDKTJ) PPN FASA 3 2021 kerana individu berkenaan gagal memakai pelitup muka dengan sempurna.

Katanya, satu lagi kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu Peraturan 11(1)(d) kerana merokok di kawasan larangan kedai makan.

“Dalam operasi ini juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan berkaitan pelesenan.

“Operasi bersepadu itu disertai 15 anggota membabitkan tujuh daripada JKNK dan empat anggota masing-masing daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu dan PBT,” katanya. —Metro

COMMENTS