Elak hari Jumaat hingga Ahad, minta KPM ubah jadual SPM

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mengkaji semula jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada Jumaat dan Ahad.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau menyifatkan jadual peperiksaan itu yang bermula pada 3 Mac hingga 20 Mac 2022 kurang sesuai kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang agama dan kepercayaan di negara ini.

Beliau mendakwa penyediaan jadual peperiksaan itu juga melanggar prinsip Rukun Negara berkaitan kebebasan rakyat negara ini menunaikan tanggungjawab terhadap agama dan kepercayaan masing-masing.

“Seperti yang kita sedia maklum, Jumaat adalah hari bagi seluruh penganut agama Islam menunaikan sembahyang Jumaat.

“Ahad pula adalah hari penganut Kristian yang ada di Malaysia seperti Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain untuk pergi ke gereja, selain ada juga agama Kristian seperti Seventh-Day Adventist (SDA) yang penganutnya pergi ke gereja pada Sabtu.

“Justeru, jadual peperiksaan SPM yang disediakan Kementerian Pendidikan jelas melanggar kandungan yang pertama dan paling utama Prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri perlembagaan, perkara ini tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan KPM pada 17 November lalu.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, jadual peperiksaan sepatutnya tidak jatuh pada tarikh di mana warga Malaysia menunaikan kewajipan terhadap kepercayaan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan membatalkan dan meminda tarikh peperiksaan SPM khususnya yang jatuh pada Jumaat hingga Ahad ke tarikh lain yang tidak berkaitan untuk mana-mana warga negara Malaysia menunaikan kewajipan terhadap kepercayaan masing-masing.

Katanya, perubahan tarikh jadual peperiksaan juga perlu diselaraskan semula atas keprihatinan terhadap kebajikan guru seperti dinyatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

“KPM sepatutnya mempunyai empati terhadap guru yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik pelajar. Berilah mereka ruang untuk berehat pada hujung minggu.

“Guru bukannya robot, mereka juga perlu rehat dan masa untuk urusan keluarga. Selain itu, pelajar SPM juga boleh mengambil masa bertenang sepanjang hujung minggu sebelum terus fokus dalam menjawab peperiksaan pada hari berikutnya,” katanya. —Berita Harian

COMMENTS