Dalaman Umno terus berkocak, Tajuddin serang langkah Nazri Aziz

Pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman hari ini menempelak langkah Nazri Aziz mendapatkan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Hishamuddin Hussein.

Beliau berkata, Nazri seolah-olah “mahu bertindak sesuka hati” dalam mengucar-kacirkan parti dengan tindakannya itu dan mungkin “salah kira” mengenai tahap sokongan terhadapnya.

“Kita mesti mendengar kepada parti. Patuh kepada disiplin, keputusan, arahan dan protokol parti. Apakah kerana kami Ahli Parlimen, maka tidak perlu mendengar kepada parti,” kata Tajuddin kepada FMT.

“(Nazri) kawan baik saya. Kami rapat tetapi salah tetap salah,” kata Tajuddin yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Beliau berkata, tindakan Nazri mengumpul sokongan menerusi SD untuk Hishamuddin menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuk sokongan untuk Ahli Parlimen Padang Rengas itu sendiri.

“Saya kesian Nazri. Beliau berfikir Ahli Parlimen bersamanya. (Tetapi) sokongan itu kemungkinan tidak ‘solid’,” kata beliau.

Beliau berkata, Ahli Parlimen terbabit juga tentunya “memikirkan kedudukan diri sebab mahukan presiden parti mencalonkan mereka untuk terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang”.

Tajuddin berkata, 25 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Nazri dan Hishamuddin itu sudah tentu tampil mengisytiharkan sokongan itu jika mereka sanggup dipinggirkan pada PRU15.

“Tak masuk akal jika mereka tidak peduli sama ada dicalonkan untuk bertanding pada PRU. Saya tidak fikir mereka sanggup membuat pengorbanan sampai ke tahap itu,” kata beliau.

Awal minggu ini, Nazri mendakwa 25 daripada 41 Ahli Parlimen Umno-BN menandatangani SD menyokong Hishammuddin mewakili mereka jika dipanggil menghadap Agong.

Nazri mendakwa usaha itu dibuat kerana majoriti Ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam gabungan itu.

— FMT

COMMENTS