Anggota Pasukan Gerakan Am dipatuk ular kapak ketika melakukan operasi

Sik: Bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk membantu membawa turun seorang anggota polis yang dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.47 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dibantu pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu untuk menyertai operasi itu.

“Berdasarkan maklumat diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah, mangsa yang juga anggota polis dari PGA Batalion 18 berusia 38 tahun itu dipercayai dipatuk ular ketika menjalankan operasi tugas dalam hutan berkenaan.

“Ketua Operasi PGA memaklumkan yang mangsa tidak dapat dibawa turun oleh rakan-rakan mereka disebabkan faktor muka bumi yang bercerun serta berbukit menyukarkan mangsa untuk dibawa turun dan memerlukan bantuan anggota bomba,” katanya di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggaran ketinggian mangsa berada ketika itu adalah pada paras 500 meter dari aras laut.

Beliau berkata, pada 6.40 petang, komander operasi bersama anggota bomba, Perhilitan dan PGA memulakan operasi ke lokasi mangsa untuk membawa mangsa turun.

Katanya, komander operasi kemudian melaporkan mangsa kemudian selamat dibawa turun pada 12.37 tengah malam dan dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera EMRS BBP Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang dilaporkan terkena patukan ular berkenaan di tangan kanan itu kemudian dilaporkan selamat,” katanya. —Metro

COMMENTS