Perebutan jawatan TPM mula “panas” dikalangan MT Umno
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung semalam menjadi tumpuan kerana dijangka memutuskan calon timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat itu tidak menyebut mengenai jawatan timbalan perdana menteri, sementara pemimpin lain kunci mulut ketika ditemui oleh media malam tadi.
Kedudukan nombor dua dalam kerajaan persekutuan dikatakan sebagai salah satu tuntutan Umno untuk terus bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
Ketika dihubungi, sumber parti yang menghadiri mesyuarat itu mengatakan bahawa mereka telah membincangkan mengenai calon untuk mengisi jawatan itu tetapi tiada keputusan dibuat.
Sumber bagaimanapun tidak memberitahu nama yang dibangkitkan bagi mengisi jawatan itu.
Semalam seorang ahli MT Umno memberitahu Malaysiakini dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya bahawa tiga nama yang mungkin diketengahkan ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, dan Ahli Pparlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin menafikan terlibat dalam sebarang langkah untuk meletakkan dirinya sebagai pesaing.
Bagaimanapun, salah satu sumber menyifatkan penafian Hishammuddin itu merugikan dirinya sendiri.
“Hishammuddin dah kena checkmate. Dia sendiri menafikan dia berminat dan akan patuh keputusan parti. Jadi dia defensif. Ini menyukarkan Muhyiddin untuk melantik orang lain yang bukan dalam hirarki (kepimpinan) Umno,” kata sumber itu.
Sementara itu, Malaysiakini juga difahamkan bahawa sebilangan ahli MT Umno mendesak agar Zahid menjadi calon timbalan perdana menteri.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Muhyiddin didakwa tidak mahu memilih melantik Zahid kerana presiden Umno itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.
Zahid dalam kenyataannya semalam, mengatakan bahawa barisan menteri Umno sekarang akan kekal dalam pemerintahan kerajaan.
Namun, parti itu mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik situasi Covid-19 terkawal.
Seorang lagi ahli MT Umno mengatakan tidak ada tarikh akhir ditetapkan untuk mengadakan PRU, dan untuk sekarang, mereka menyokong kepimpinan sedia ada.
“Semua ahli parlimen Umno akan menyokong (Belanjawan 2021),” tambah pemimpin parti itu.
Sokongan Umno terhadap PN telah merosot setelah Bersatu – yang mengetuai pakatan yang longgar – mendapatkan jawatan ketua menteri Sabah yang dipercayai diimpikan Umno pada pilihan raya negeri bulan lalu.
Umno merasakan mereka terlalu banyak mengalah kepada Bersatu.
Ini menimbulkan spekulasi bahawa beberapa anggota parlimen Umno akan memilih menentang Belanjawan 2021, sebagai bukti tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Bagaimanapun, Umno telah memutuskan untuk terus menyokong PN dengan syarat parti itu mendapat penghormatan dan konsensus politik
Berita Penuh : Malaysiakini