PANAS! : Tunggang agama demi keuntungan

Orang jual minyak wangi, jual nama Mekah. Orang jual cepiau, jual bentuk selipar Nabi. Orang jual kismis, jual al-Quran 30 juzuk.

Kasihan orang Islam. Agama mereka diperdagang sebegitu rupa. Ketika mula-mula turun, agama ini membebaskan manusia daripada khurafat.

Bermati-matian generasi era itu mengikis khurafat daripada diri mereka. Mereka disebut generasi al-Quran yang unik oleh Syed Qutb.

Kita bimbang agama menjadi bahan tawa. Dan kita marah apabila Nabi kita dipersenda. Kita tulis surat tegur orang lain lukis karikatur Nabi kita.

Padahal, tanpa kita sedar, kita mungkin menjadi faktor agama ini menjadi bahan ketawa dan dipersenda. Jika bukan kita, siapa penyebabnya?

Kita berjubah ke sana-sini, tapi kita langgar undang-undang. Kita berjalan bongkok tanda warak, tapi kita rembat duit sesuka hati. Kita ajak orang berjuang Islam, tapi kita tidak adil dalam menghukum.

Akhirnya agama menjadi fenomena. Sekadar simbol-simbolan. Pasang kuat-kuat speaker baca al-Quran di masjid, tapi orang sakit hati dengan masjid dan al-Quran.

Kita marah orang itu, padahal kitalah puncanya kerana kita hanya mengutamakan fenomena bukan mengutamakan intipati agama.

Intipati agama ialah kasih-sayang, hormat-menghormati, jujur, patuh undang-undang, santun, prihatin dan ihsan.


USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.

COMMENTS