Lazada tindas penghantar barangan, rugi hingga RM5,000 sebulan

Lazada tindas penghantar barangan, rugi hingga RM5,000 sebulan

SEBERANG PERAI – “Selagi pihak pengurusan platform e-dagang Lazada tidak mansuhkan skim pembayaran baharu, tiada seorang daripada kami akan melakukan penghantaran barang kepada pelanggan.

Itu tegas jurucakap kontraktor bebas Lazada Mohd Aidil Hafizuddin Mohd Fauzi, 24, yang melakukan bantahan aman bersama 40 rakan sejawatnya ekoran pihak pengurusan e-dagang berkenaan memansuhkan bayaran gaji pokok RM180 sehari kepada mereka sejak 1 Januari lalu.

Mohd Aidil Hafizuddin berkata, tindakan pihak pengurusan Lazada menetapkan skim pembayaran baharu bukan saja tidak munasabah malah menyebabkan kebanyakan mereka berdepan situasi bankrup sekiranya gagal membayar pinjaman ansuran van kepada pihak bank.

“Mereka (pihak pengurusan) memberikan notis berhubung pemotongan gaji pokok serta skim pembayaran baharu pada 31 Disember lalu tanpa sebarang pembincangan.

“Cuba bayangkan kami beli van baru untuk memastikan penghantaran barang berjalan dengan lancar namun mereka tidak memikirkan perkara itu sebaliknya mengambil tindakan yang menyebabkan pendapatan kami terjejas.

“Periuk nasi kami ditutup dan rasa ditindas oleh pihak pengurusan Lazada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, kira-kira 40 kontraktor bebas penghantar barangan Lazada melakukan bantahan aman di hab Prai.

Kontraktor bebas Lazada berkumpul di hadapan Hub e-dagang itu di Prai bermula jam 9.30 pagi untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan berhubung isu pemotongan gaji pokok berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kesemua mereka ini merupakan penghantar barangan menggunakan van sewa dan milik sendiri untuk melakukan penghantaran.

Sementara itu, Muhammad Fitri Safie, 27, berkata, pengiraan skim bayaran baru menyebabkan dia mengalami kerugian lebih 70 peratus berbanding gaji lamanya.

“Jika dulu kami dapat RM180 sehari untuk 40 barang dan jika lebih bayarannya lain tetapi skim baru ini kami hanya terima komisyen mengikut penghantaran iaitu setiap barang RM1.11 bagi 2kg kebawah manakala RM1.64 bagi setiap satu barang berat melebihi 2kg- hingga 20kg.

“Gaji saya sebulan RM7,000 cukup untuk membayar sewa van RM1,500 sebulan, petrol dan lain perbelanjaan termasuk menguruskan keluarga tetapi dengan skim baharu ia akan menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian.

“Jika mahu gaji sama seperti dahulu saya mungkin perlu kerja lebih daripada 12 jam termasuk hujung minggu sekali gus hilang masa bersama keluarga,” katanya.

Turut meluahkan rasa sama, K.Ganeshwaran, 24, berkata, dia runsing memikirkan nasibnya yang baru seminggu membeli van untuk melakukan penghantaran.

“Sudah dua tahun saya melakukan penghantaran barangan Lazada dan tindakan mengejut oleh pihak pengurusan amat mengecewakan.

“Sebelum ini, setiap hujung tahun mereka akan tamatkan kontrak pekerja dengan pelbagai alasan namun tahun ini mereka menggunakan taktik skim pembayaran baharu pula.

“Kami harap satu keputusan baru akan dibuat oleh pihak pengurusan yang memihak kepada kedua-dua pihak dalam tempoh terdekat,” kata Ganeshwaran.

COMMENTS