Kes Fitnah : Mujahid ‘nak ajaq’ Harakah di Mahkamah

Perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap Harakah membabitkan isu usahawan kosmetik Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah, akan bermula Julai depan.

Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Mujahid, ketika dihubungi Bernama berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon menetapkan 12 dan 13 Julai untuk perbicaraan kes itu ketika prosiding berlangsung menerusi sistem dalam talian e-Review hari ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lepas, menamakan wartawan Harakah Aziz Muda, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu, Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Politik semasa |Isu LGBT: Muslimat PAS setuju tindakan Muhyiddin dan Ahmad Marzuk

Penyataan tuntutan Mujahid mendakwa pada 7 Feb tahun lepas, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di laman sesawang harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Feb menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti ‘Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT)’ selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah.

isu semasa | Nur Sajat didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sementara itu, kesemua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 28 Sept tahun lepas berkata Mujahid seharusnya berani bertanggungjawab berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau dan sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan masyarakat terutama pengamal media berhubung isu tersebut.

Berita Asal

COMMENTS