GEMPAR!! Guru dan petugas KEMAS dibenarkan aktif politik – Ismail Sabri

GEMPAR!! Guru dan petugas KEMAS dibenarkan aktif politik – Ismail Sabri

Kerajaan mengumumkan golongan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan berpolitik berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang menyertai kegiatan politik.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya berpolitik sehingga mengabaikan tugas.

“Kita telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik, kalau pekeliling belum dikeluarkan saya harap Kementerian Pendidikan segera keluarkan pekeliling tersebut supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru.

“Saya ingin mengumumkan bahawa petugas Kemas juga bebas, dibenarkan berpolitik cuma mereka tetap tertakluk kepada peraturan daripada jabatan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod pada Januari 2018 Berita Harian melaporkan guru dari Gred DG41 hingga DG48 saja dibenarkan aktif dalam politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Perkara itu dinyatakan ketua pengarah perkhidmatan awam ketika itu, Zainal Rahim Seman, yang berkata perkara itu jelas dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil.9 Tahun 2010, yang turut menetapkan syarat berkaitan.

Bagaimanapun pada hujung tahun lalu Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Yusran Shah Mohd Yusof dilaporkan dalam surat bertarikh 8 Disember 2021 mengeluarkan arahan pembatalan kelulusan penglibatan penjawat awam di dalam politik bagi warga KPM.

Menurut surat tersebut, semua pegawai awam di semua peringkat kumpulan atau gred tidak dibenarkan sama sekali bertanding atau memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebelum ini ada pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai guru diberi amaran untuk diambil tindakan.

“Saya sudah pun bawa perkara ini ke kabinet dan kabinet memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi kita benarkan guru-guru berpolitik.

“Dari segi kakitangan Kemas, dulu mereka dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa, tetapi sewaktu kerajaan PH yang lepas, kakitangan Kemas tidak lagi dibenarkan berpolitik,” katanya lagi.–MK

COMMENTS