450 orang sukarelawan bantu mangsa banjir di Temerloh

450 orang sukarelawan bantu mangsa banjir di Temerloh

Ops Bersih 2.0 yang dianjurkan oleh Persatuan Amal Kemanusian Malaysia (ARiF Malaysia) bersama dengan beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta mahasiswa berjaya mengumpulkan 450 orang sukarelawan bagi misi bantuan banjir yang dijalankan di daerah Temerloh, Pahang.

Menurut setiausaha ARiF Malaysia, Suhaimi Hamzah pihak mereka sendiri tidak menjangkakan sambutan yang sangat hebat diberikan oleh NGO dan paling mengejutkan adalah penyertaan oleh 100 orang mahasiswa dari pelbagai universiti tempatan dalam misi banjir kali ini.

“Saya memang tidak menjangka seramai ini kita dapat kumpulkan. Target ARiF Malaysia hanya seramai 200 orang sukarelawan sahaja, namun angka 450 orang amat diluar jangkaan kami.”

“Slogan #RakyatBantuRakyat memang sangat menyentuh perasaan dan kerana itulah ARiF berjaya mengumpulkan 450 orang sukarelawan dalam misi di Temerloh pada kali ini”, katanya lagi.

Kesemua sukarelawan yang turun ke Temerloh telah disambut oleh Ahli Parlimen Temerloh sendiri iaitu YB Dato’ Wira Haji Mohd Anuar Mohd Tahir. Turut sama menyantuni para sukarelawan adalah Ketua Pengarah ARiF Malaysia, Tuan Juhari Osman dan Ketua Pemuda AMANAH Negara, Saudara Hasbie Muda.

Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang masih kekal seperti malam Sabtu dengan 19,893 mangsa daripada 5,947 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang.

Daerah Temerloh mencatatkan jumlah paling tinggi di 41 PPS melibatkan seramai 9,400 mangsa daripada 2,742 keluarga diikuti Bentong, 3,718 mangsa (1,338 keluarga) di 18 PPS dan di Bera pula seramai 2,114 mangsa (602 keluarga) di 20 PPS.

COMMENTS