Panas! Mat Sabu dakwa ada menteri simpan RM900 Juta dalam bank

Sidang Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu “menyindir” Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kerana menuntut pendedahan Kertas Pandora, yang dikatakan melibatkan pemimpin tertentu, dibahas di Parlimen.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon berkata, usul yang dibawa Anwar untuk membahaskan isu itu masih dalam pertimbangan untuk diluluskan.

“Rayuan usul berkenaan telah diterima semalam dan perlu notis dua hari untuk diluluskan dan ia masih dalam pertimbangan dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya menjawab pertanyaan Anwar mengenai status rayuan usul yang dikemukakan itu.

Anwar tidak berpuas hati dengan penjelasan itu dan menyifatkannya helah untuk menutup ruang perbahasan mengenai pendedahan Kertas Pandora.

“Saya dah bawa usul ini dua kali sejak minggu lepas dan semalam Speaker (Azhar Harun) tolak sekali dan hari ini ia ditolak lagi, ia adalah masalah teknikal kecil untuk bencana kewangan yang besar. Mana nak pilih? Hari ini adalah hari terakhir, janganlah dolak-dalik,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohamad (PH-Kota Raja), yang lebih dikenali Mat Sabu, kemudian “menyindir” Anwar dengan meminta Ketua Pembangkang itu tidak cemburu dengan kekayaan luar biasa yang dimiliki individu yang dinamakan dalam Kertas Pandora.

“Janganlah rasa cemburu. Kita nak belajar cari duit. Saya empat penggal jadi Ahli Parlimen, tak ada pun duit juta-juta. Saya tengok ada menteri ada RM900 juta dalam bank, RM2 juta wang poket, saya nak belajar cari duit begitu mudah tu, Port Dickson (Anwar) sibuk sangat kenapa,” katanya yang turut membuatkan Anwar ketawa.

Seterusnya, Anwar menempelak mereka yang mencanang diri sebagai pejuang Melayu dan Islam dalam kerajaan kerana tidak berani bersuara menekan kerajaan supaya membahaskan pendedahan Kertas Pandora.

“Hal ini saya tegaskan kerana ia belum disuarakan oleh pejuang Melayu dan juga pejuang Islam. Bagi saya ada percanggahan apa yang dilaungkan sebagai jaguh pertahankan hak, tetapi kita mengizinkan kebatilan,” katanya.

Tegasnya, pendedahan berkenaan memerlukan jaminan kerajaan untuk menyiasat perkara itu, bukan terus menghukum.

“Kerajaan harus beri jaminan semua agensi ini akan menyiasat, bukan hanya untuk menghukum. Pengerusi (Speaker) pun harus beri ruang kita bahas perkara ini. Tak mungkin kita mahu pertahankan dan melindungi mereka (individu disebut dalam Kertas Pandora).”

Pada 4 Okt lalu, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.

Bagaimanapun Azhar menolak usul itu sebagai tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan mengetepikan urusan yang sudah ditetapkan dalam Aturan Mesyuarat.-FMT

COMMENTS