Dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Tambun

Dua individu dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel yang terletak di kawasan gunung di Tambun di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa masing-masing seorang lelaki dan perempuan yang menginap di hotel itu pada pukul 1.28 pagi.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan mengenai kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pasukan bomba masih giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa manakala maklumat lanjut mengenai mangsa belum dikenal pasti.

Pasukan penyelamat turut menemukan dua pasang kasut sukan dipercayai milik kedua-dua mangsa di kawasan kejadian.

— BERNAMA

COMMENTS